Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Tuesday, March 18, 2008

Sidang Media - Isu Bahasa & Pendidikan : Harapan Kumpulan Prihatin

6 MAC 2008 / 27 Safar 1429H

DI BANGUNAN YAYASAN PENATARAN ILMU

JALAN DEWAN BAHASA, KUALA LUMPUR


1. Kerajaan Malaysia telah mengubah bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah dan IPTA daripada bahasa Malaysia kepada bahasa Inggeris.

2. Tindakan ini tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negara Malaysia (perkara 152), iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dan dengan Penyata Razak (1956) serta Akta Pendidikan (1996) yang telah menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dari peringkat sekolah rendah sehinggalah peringkat universiti.

3. Walaupun dihujahkan perubahan ini hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja, iaitu sains dan matematik, hakikatnya perubahan ini membawa kesan yang jauh lebih parah kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, menurut kajian kami, di peringkat SPM nanti, kira-kira 71 % mata pelajaran diajarkan dalam bahasa Inggeris sementara hanya 29% dalam bahasa Malaysia. Ini bermakna, bahasa Malaysia tidak lagi menjadi bahasa pengantar utama; bahasa Inggeris telah diseludupkan sebagai bahasa pengantar utama.

4. Di peringkat IPT pula, keadaan menjadi lebih tenat lagi, iaitu cuma 9% mata pelajaran berbahasa Melayu, berbanding dengan 91% mata pelajaran berbahasa Inggeris!

5. Apabila tidak digunakan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik di semua peringkat pendidikan, bahasa Malaysia tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Istilah dalam pelbagai bidang ilmu yang telah dicipta tidak akan digunakan dan istilah baru tidak akan dicipta lagi. Tiada siapa yang mahu menerbitkan buku ilmu dalam bahasa Malaysia kerana tidak akan ada pasaran untuknya. Akibatnya bahasa Malaysia akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja.

6. Hujah untuk membuat pertukaran ini kononnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris para pelajar. Hujah ini sama sekali tidak berasas kerana belum pernah dibuktikan di mana-mana di dunia ini mengajar sains dan matematik dalam sesuatu bahasa boleh meningkatkan penguasaan bahasa itu.

7. Kami bersetuju bahawa penguasaan bahasa Inggeris para pelajar kita baik di peringkat sekolah maupun IPT perlu ditingkatkan. Tetapi ini bukanlah caranya. Caranya menurut hemat kami ialah dengan menambah jumlah guru yang mahir, khususnya di sekolah-sekolah di luar bandar, menggalakkan para pelajar lebih gemar membaca dan menggunakan bahasa itu secara aktif.

8. Kami mencadangkan guru-guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris, sains dan matematik dihantar ke sekolah-sekolah di luar bandar dan memberikan insentif kepada mereka. Misalnya, mereka yang sanggup tinggal dan mengajar di luar bandar selama lima tahun diberikan bonus atau ganjaran yang istimewa. Apabila sekolah-sekolah luar bandar sudah mencapai taraf kemajuan akademik dan lainnya yang sama dengan sekolah-sekolah di bandar, maka wajarlah pada waktu itu dilaksanakan sistem meritokrasi.

9. Kami juga suka mencadangkan agar dalam sistem pendidikan kita, setiap pelajar diwajibkan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa. Bagi pelajar Melayu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Bagi yang lain bahasa Malaysia dan Inggeris di samping bahasa ibunda mereka masing-masing.

10. Kami amat prihatin akan masa depan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Kami telah bangkitkan isu ini banyak kali dalam seminar, syarahan, rencana dan perbincangan. Malahan kami telah membawa isu ini ke hadapan mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Nampaknya masih tidak ada tindakan yang positif mendaulatkan semula bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kita. Dari itu sempena pilihanraya ke 12 ini, kami menyeru agar suatu komitmen mengenai isu ini dibuat oleh pihak kerajaan. Kami juga menyeru para pengundi yang prihatin agar mendesak calon masing-masing membuat komitmen akan menyuarakan isu ini sebelum memberikan undi kepada mereka.